IPOH, 6 Jan (Bernama) -- Seorang pemilik syarikat pengangkutan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki minyak diesel melebihi kuantiti dibenarkan.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap orang kena saman (OKS) Chin Wei Sin Vincent, 47, serta memerintahkannya dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah juga memerintahkan wang hasil jualan minyak dan semua barang rampasan dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan lori dipulangkan semula kepada pemilik asal.
Mengikut pertuduhan, Chin yang merupakan pemilik tunggal syarikat itu memegang permit barang kawalan berjadual didapati telah gagal mematuhi syarat dinyatakan dalam permit tersebut iaitu memiliki barang kawalan berjadual minyak diesel sebanyak 5,940 liter melebihi kuantiti yang dibenarkan iaitu 2,000 liter.
Kesalahan itu dilakukan di dalam premis Vincent Chin Enterprise, Pt 10014, Lot 302243, Jalan Johan 2/11, Kawasan Perindustrian Pengkalan 2, Pusing dalam daerah Batu Gajah pada 9 pagi 8 Mac 2024.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin dan Pegawai Pendakwa KPDN Perak N Shamani memohon denda RM15,000 serta wang hasil jualan berjumlah RM17,701.20, empat tangki IBC dan dua pam penyedut minyak dilucut hak kepada kerajaan Malaysia serta lori dipulangkan kepada pemilik asal.
OKS yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengurangkan jumlah denda kerana dia merupakan penyara utama keluarga.
-- BERNAMA