KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Seorang setiausaha syarikat hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat pernyataan palsu kepada Pendaftar Syarikat mengenai butiran penyata kewangan, tiga tahun lepas.
Mohd Khairul Amini A. Ramli, 54, didakwa membuat pernyataan palsu mengenai butir-butir yang material dalam dokumen Laporan dan Penyata Kewangan bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2022 milik syarikat Xperanti IOT (M) Sdn Bhd.
Pernyataan palsu itu membabitkan perakuan bahawa penyata kewangan berkenaan telah diedarkan kepada anggota syarikat pada 28 Nov 2023, sedangkan ia sebenarnya belum diedarkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Menara SSM@Sentral di KL Sentral di sini pada 29 Nov 2023 mengikut Seksyen 593(b) Akta Syarikat 2016 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 12 Feb ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SSM Farieza Hazreen Salehuddin manakala Mohd Khairul Amini diwakili peguam Muhammad Amir Akmal Ahmad Shukri.
-- BERNAMA