PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun sebagai pencetus perubahan yang mampu membawa pembaharuan besar dalam sistem tadbir urus negara.
Beliau berkata cadangan itu disarankan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat khas Kabinet semalam dan telah dipersetujui oleh semua Jemaah Menteri.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata had tempoh itu penting bagi mengelakkan seseorang Perdana Menteri memegang jawatan terlalu lama sehingga menimbulkan kesan ketepuan kepimpinan walaupun mempunyai prestasi yang baik.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.
Ahmad Zahid juga berkata rang undang-undang bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibawa secara perundangan pada sidang Parlimen yang bermula pada 19 Jan ini.
Semalam, Anwar dalam perutusan Tahun Baharu berkata rang undang-undang itu akan dibentang pada sesi Parlimen akan datang.
-- BERNAMA