DUNIA

China, Korea Selatan Komited Perkukuh Perkongsian Strategik

06/01/2026 02:28 PM

BEIJING, 6 Jan (Bernama-CMG) -- Presiden China, Xi Jinping mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Korea Selatan, Lee Jae Myung di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada Isnin.

Xi menegaskan, China dan Korea Selatan mempunyai hubungan ekonomi yang amat rapat, manakala rantaian perindustrian dan pembekalan kedua-dua negara dapat saling melengkapi, dan kerjasama dua hala saling menguntungkan.

Oleh itu, menurut Xi, kedua-dua negara perlu meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan dan mengukuhkan koordinasi polisi, meluaskan kepentingan bersama dan berusaha memperoleh lebih banyak hasil kerjasama dalam sektor baru muncul seperti kecerdasan buatan (AI), industri hijau, ekonomi golongan emas dan lain-lain.

Xi turut mengambil peluang mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu kepada rakyat Korea Selatan.

Dalam pertemuan itu, Lee berkata, Korea Selatan menghormati kepentingan teras dan keprihatinan utama China, selain menghormati prinsip satu China.

Beliau berkata pihaknya amat mementingkan hubungan dengan China, dan bersedia mengambil peluang lawatan ketua negara kali pertama pada tahun baharu ini untuk mengukuhkan trend pemulihan hubungan dua hala, meningkatkan perkongsian strategik dan membuka lembaran baharu bagi hubungan Korea Selatan-China.

Selepas pertemuan itu , Xi dan Lee telah bersama-sama menyaksikan pemeteraian 15 dokumen kerjasama dalam bidang inovasi sains dan teknologi, persekitaran dan ekologi, pengangkutan, ekonomi dan perdagangan dan lain-lain.

-- BERNAMA-CMG

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2509343