SUKAN

Para ASEAN: Skuad Boling Sasar Enam Emas

06/01/2026 02:52 PM

PETALING JAYA, 6 Jan (Bernama) -- Skuad boling para negara meletakkan sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya enam pingat emas pada temasya Sukan Para ASEAN yang akan membuka tirainya 20 Jan ini.

Ketua jurulatih skuad boling para negara Richard Teh berkata seramai 16 atlet negara akan menggalas cabaran dalam 14 acara yang dipertandingkan.

Meskipun memulakan latihan agak lewat pada Disember lepas, beliau yakin barisan atlet yang dibarisi pemain berpengalaman berpotensi merealisasikan sasaran yang ditetapkan.

“Kalau diikutkan, jika kami keluar bertanding selalunya kami tidak akan pulang dengan tangan kosong.

“Jadi untuk kali ini, kami sasar untuk bawa pulang sekurang-kurangnya enam pingat emas daripada 14 yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Ketua Kontinjen Para ASEAN Mohd Zarrawi Ravi Abdullah ke latihan pusat skuad boling para negara di Sunway Megalanes di sini hari ini.

Sementara itu, Zarrawi memaklumkan bahawa skuad boling para negara kini di bawah pengurusan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) sejak November lepas.

Beliau berkata perkembangan itu sekali gus memberi kelebihan kepada atlet para negara sebagai persiapan menghadapi Para ASEAN.

“Di bawah MTBC, kita dapat bantuan teknikal dan sokongan moral untuk kita pertingkatkan lagi prestasi atlet.

“Sokongan ini bagi saya sangat baik dan selepas ini, tiada sebab untuk atlet para tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam kejohanan yang disertai mereka," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2509349