KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Petronas telah menfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya bertujuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai bagi operasi petroleum di Sarawak.
Petronas dalam satu kenyataan hari ini berkata pihak responden yang dinamakan adalah Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak.
“Permohonan berkenaan difailkan dengan tujuan memastikan Petronas terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik,” kata syarikat minyak nasional itu.
Menurutnya, permohonan tersebut tidak berhasrat untuk mencabar aspirasi pembangunan Sarawak mahupun menghalang peranan yang dimainkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam sektor tenaga di negeri tersebut.
Keputusan memfailkan usul tersebut dibuat susulan perbincangan serta rundingan yang berjalan semenjak 2024 bersama Petros serta Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak.
“Meskipun terdapat kemajuan yang telah dicapai dalam rundingan komersial dan perkongsian, termasuk pemeteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) pada 2020, namun masih terdapat perbezaan pendapat berhubung kerangka kawal selia yang terpakai kepada Petronas,” katanya.
Dalam meneliti perkara ini Petronas berharap agar semua pihak akan menghormati proses perundangan serta peranan sistem kehakiman negara.
Petronas juga menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses perundangan dan memberi ruang kepada Mahkamah Persekutuan untuk membuat penilaian sewajarnya berkenaan usul yang dikemukakan.
Sementara itu Petronas tetap komited untuk melaksanakan operasinya dengan telus serta penuh tanggungjawab di Sarawak.
“Seluruh operasi akan terus berjalan seperti biasa. Kami akan terus memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat dan industri di Sarawak serta bekerjasama ke arah memajukan aspirasi pembangunan negeri dan memelihara kemakmuran Malaysia,” katanya.
Menurutnya, Petronas kekal komited untuk memastikan komunikasi yang telus mengenai operasinya termasuk kegiatan usahasama syarikat.
-- BERNAMA