DUNIA

Festival Ais Dan Salji Antarabangsa Harbin Ke-42 Bermula

06/01/2026 04:52 PM

HARBIN, 6 Jan (Bernama-CMG) -- Festival Ais dan Salji Antarabangsa Harbin ke-42 membuka tirai  di Dunia Ais dan Salji Harbin, ibu kota provinsi Heilongjiang di timur laut China, pada Isnin.

Festival ais dan salji yang diasaskan pada tahun 1985 itu  kini telah berkembang menjadi  satu daripada empat festival ais dan salji yang terbesar di dunia.

Bertemakan "One Frozen Wonderland, One Shared Future", festival edisi ini turut memperkenalkan 10 laluan pelancongan dan lebih daripada 200 aktiviti kebudayaan, sukan, serta ekonomi dan perdagangan.

Selain itu, negara tamu utama, provinsi tamu utama, dan bandar tamu utama ditetapkan buat julung-julung kalinya, bagi merapatkan ikatan budaya ais dan salji, sekali gus memacu momentum pertumbuhan ekonomi ais dan salji.

Menurut statistik pihak berkuasa berkaitan di provinsi Heilongjiang, pada musim ais dan salji yang lepas, jumlah pelancong dan perbelanjaan dalam sektor pelancongan di provinsi berkenaan masing-masing meningkat sebanyak 18.5 peratus dan 30.7 peratus tahun ke tahun.

Dianggarkan jumlah keluaran keseluruhan ekonomi ais dan salji di seluruh provinsi Heilongjiang akan melebihi RMB300 bilion (RM174.17 bilion) pada tahun 2025, menokok lebih 12 peratus.

-- BERNAMA-CMG

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2509438