JENAYAH & MAHKAMAH

Bot Bertembung: Seorang Hilang, Empat Cedera

09/01/2026 11:00 PM

SEMPORNA, 9 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki hilang manakala empat lagi cedera dalam insiden dua bot penumpang bertembung di kedudukan 0.3 batu nautika dari timur Jeti Pelancong Semporna di sini pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Semporna Komander Maritim Amir Shubli berkata Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 11.30 pagi.

"Bot dinaiki lima individu itu rosak teruk akibat pelanggaran berkenaan dengan empat mangsa yang cedera termasuk juragan bot dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut, manakala seorang kru Rosman Kandau, 24, dilaporkan hilang di lokasi kejadian.

"Dua lelaki yang menaiki sebuah lagi bot terselamat dengan operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang diaktifkan 1.50 tengah hari tadi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amir berkata operasi pencarian yang dilaksanakan meliputi keluasan kawasan tiga batu nautika persegi melibatkan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Pasukan Polis Marin.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna, 014-7870624 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2510816