Daripada Muhammad Saufee Rosman
ISTANBUL, 9 Jan (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye merupakan sebahagian daripada usaha strategik Malaysia untuk mengkaji semula dan memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari, antara menteri mengiringi lawatan rasmi tiga hari berkenaan yang berakhir semalam berkata pendekatan itu seiring dengan landskap ekonomi global yang semakin berubah dengan kecenderungan ke arah perlindungan pasaran domestik.
Beliau berkata langkah itu tepat pada masanya kerana banyak negara kini mengamalkan pendekatan yang lebih mengutamakan kepentingan domestik, menjadikannya penting bagi Malaysia untuk memaksimumkan manfaat daripada 17 FTA yang telah ditandatanganinya termasuk dengan Turkiye.
Johari berkata Malaysia tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada kewujudan FTA tanpa memastikan secara aktif bahawa ia memberikan hasil yang ketara untuk semua pihak yang terlibat.
“Justeru, saya mahu melawat negara yang menandatangani FTA dengan Malaysia. Kami pergi ke setiap negara dan melihat manfaat yang mereka peroleh daripada kita (Malaysia) pada masa lepas dan manfaat diperoleh daripada mereka.
“Kami ingin memperhebatkan kerjasama ini kerana semua orang kini mengutamakan kepentingan domestika. Sehubungan itu, kita tidak boleh pergi ke mana-mana negara tanpa memanfaatkan kedudukan ini,” katanya kepada pemberita di sini sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye.
Beliau berkata lawatan ke Turkiye menandakan langkah pertama dalam mengkaji semula keberkesanan FTA dua hala, termasuk mengenal pasti faktor-faktor yang menyumbang kepada ketidakseimbangan aliran perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
“Dan lain kali kita boleh mula melihat beberapa negara lain. Saya katakan adalah lebih bermakna untuk bertemu dengan semua ahli perniagaan dan mendengar isu-isu yang berkaitan.
“Mengapa kita menandatangani FTA tetapi tidak melihat pelaburan atau perdagangan datang kepada kita (masuk ke Malaysia)? Dan mengapa kita melihat perdagangan kita hanya pergi kepada mereka tetapi bukan sebaliknya?,” katanya.
Johari berkata penglibatan langsung dengan komuniti perniagaan adalah penting untuk lebih memahami cabaran di lapangan, selain memupuk kepercayaan antara rakan dagang untuk memudahkan kerjasama ekonomi yang lebih luas.
Beliau berkata usaha untuk memperkukuh FTA mesti seiring dengan pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kekal sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia.
“Setiap kali kita melakukan ini, kita mahu memastikan PKS Malaysia dapat menembusi semua ini menggunakan FTA kita kerana pada akhirnya, kita boleh membawa semua syarikat besar ke sini.
“Ya, industri tertentu kita memerlukannya. Kita memerlukan teknologi baharu. Kita memerlukan teknologi kecerdasan buatan yang datang dari negara maju tetapi kekuatan kita adalah bagaimana kita membangunkan PKS kita dan membenarkan mereka masuk ke semua negara FTA ini untuk mengembangkan pasaran mereka,” katanya.
Johari berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memainkan peranan penting dalam membantu PKS mengakses pasaran antarabangsa tetapi sumbangan mereka kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kekal sebagai bidang yang memerlukan tumpuan yang lebih besar.
“Buat masa ini, sumbangan PKS kepada KDNK hanya 39 peratus. Sepuluh tahun lepas, ia adalah 37 peratus. Jadi, dalam 10 tahun, ia hanya meningkat dua peratus tetapi KDNK telah berkembang hampir 68 peratus dalam 10 tahun terakhir. Sekarang kita berada pada RM1.9 trilion. Ini adalah sesuatu yang perlu kita lihat,” katanya.
-- BERNAMA