KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- MIC telah mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan skim pengangkutan sekolah percuma di peringkat kebangsaan dengan memanfaatkan pengusaha bas sedia ada, dengan mengambil inspirasi daripada inisiatif bas percuma yang baru dilancarkan di Sarawak.
Naib Presiden MIC Datuk T. Murugiah berkata projek perintis di Sarawak, yang bermula di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua No 6 di Kuching, telah menunjukkan hasil yang positif dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar sekolah serta meningkatkan keselamatan pelajar.
“"Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan agar kerajaan menggunakan bas-bas sekolah sedia ada sebagai langkah segera dan praktikal.
"Di bawah cadangan ini, kos pengangkutan setiap pelajar diserap sepenuhnya oleh kerajaan, tanpa membebankan ibu bapa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif bas sekolah percuma itu akan diperluas ke lebih banyak sekolah selepas data statistik dan sistem penjejakan menunjukkan pengurangan ketara jumlah kenderaan persendirian di sekitar sekolah sekali gus membantu mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselamatan jalan raya.
Murugiah berkata pendekatan ini bukan sahaja membantu pelajar dan keluarga, malah akan menyelamatkan serta menjamin kelangsungan hidup operator bas sekolah, yang sering berdepan masalah kewangan, khususnya ketika musim cuti sekolah apabila mereka kehilangan sumber pendapatan.
Beliau berkata selain itu, pelaksanaan pengangkutan sekolah percuma ini juga mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu pagi, di samping mengelakkan ibu bapa daripada kelam-kabut menghantar anak-anak ke sekolah.
Murugiah juga berkata kebanjiran murid dan ibu bapa di kawasan sekolah dapat dikurangkan, bukan sahaja ketika sesi persekolahan bermula malah pada waktu tamat sekolah.
"Jika Kerajaan Negeri Sarawak mampu melaksanakan inisiatif ini dengan menyediakan bas-bas baharu, maka tiada sebab mengapa Kerajaan Persekutuan tidak boleh melaksanakannya melalui kaedah alternatif dengan memanfaatkan aset dan operator sedia ada.
"Apa yang diperlukan hanyalah kemahuan politik dan kerjasama bersepadu," katanya.
Murugiah turut mencadangkan supaya satu mekanisme arus perdana diwujudkan melalui kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan bagi merangka pelaksanaan yang menyeluruh, mampan serta berkesan di peringkat nasional.
"Ini adalah pelaburan dalam kebajikan rakyat, kelangsungan industri tempatan dan masa depan pendidikan negara," katanya.
-- BERNAMA