AM

LKIM Sasar 20 Program Jualan Agro MADANI Pada Tahun Ini

10/01/2026 02:47 PM

TEMERLOH, 10 Jan (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyasarkan penganjuran 20 Program Jualan Agro MADANI di seluruh negara pada tahun ini, berbanding sembilan program yang dilaksanakan pada tahun lepas.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata penganjuran program itu bertujuan memastikan rakyat mendapat harga ikan pada kadar yang lebih mampu milik, dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus. 

“Melalui Program Jualan Agro MADANI, kita mahu memastikan rakyat mendapat bekalan ikan yang mencukupi pada harga yang berpatutan, selain membantu nelayan dan pengusaha ikan memasarkan hasil mereka secara lebih berkesan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan program berkenaan di Kampung Bangau Tanjung di sini hari ini.

Beliau berkata program itu turut memberi tumpuan kepada nelayan darat supaya rakyat di luar kawasan pesisir pantai tidak terpinggir, selaras dengan usaha memperluas pemasaran ikan laut dan ikan air tawar secara lebih menyeluruh.

Pada program itu, Muhammad Faiz turut menyampaikan sumbangan peralatan seperti pukat dan tong fiber kepada 13 nelayan darat, termasuk tiga usahawan Hab Pengumpulan dan Pengedaran Ikan Air Tawar (CCDC) LKIM yang beroperasi di Kampung Bangau Tanjung. 

“Kita tidak pernah lagi beri bantuan kepada nelayan darat kerana ia luar daripada bidang kuasa kita. Insya-Allah kita akan perluaskan lagi bantuan kepada nelayan darat yang terlibat secara langsung dengan pemasaran ikan,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2510916