JENAYAH & MAHKAMAH

Tindakan Tegas Terhadap 20 Pegawai TUDM Terlibat Aktiviti Tidak Bermoral - PTU

10/01/2026 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi semua 20 pegawainya yang terlibat secara langsung dalam aktiviti tidak bermoral.

Panglima Tentera Udara (PTU) Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata TUDM akan memastikan pelaku dibicara dan diadili menurut lunas dan peruntukan perundangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Siasatan awal mendapati sebanyak 20 Pegawai TUDM yang telah terlibat secara langsung dalam aktiviti tidak bermoral ini.

“TUDM memandang serius sebarang pelanggaran terhadap perintah, direktif dan peraturan, sambil menegaskan bahawa budaya tidak sihat tersebut bukanlah suatu amalan dalam TUDM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pucuk pimpinan TUDM menzahirkan rasa kesal terhadap kejadian yang berlaku dan pihak yang gagal melaksanakan arahan turut akan diambil tindakan sewajarnya.

Pada Isnin lepas, Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengarahkan ATM menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kemasukan individu luar serta wujudnya aktiviti tidak bermoral di kem tentera, yang tular di media sosial sejak Ahad lepas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2510932