AM

Pameran 80 Lukisan Sempena Memperingati 400 Tahun Kapal Karam Wanli

10/01/2026 07:11 PM

BATU KAWAN, 10 Jan (Bernama) -- Sebanyak 80 karya seni 15 pelukis dipamerkan pada pameran kesenian “Khazanah Nanhai - Memperingati Ulang Tahun Ke-400 Kapal Karam Wanli” di Galeri Eco Horizon, di sini dari 1 hingga 25 Jan.

Pameran anjuran Penang Art District dan Smile Living Studio menampilkan barisan pelukis tempatan dan juga Singapura, Taiwan serta China termasuk Datuk Chong Hon Fatt, Prof Victor Ang, Elaine Wong dan Heng Eow Lin.

Turut terlibat ialah Jade Beh, Lee Choon Kooi, Anthony Cheah, Tim Teh, Shen Chiu Hsiang, Kek Hoon Pin, Hwang Sock Tsu, Dr. Abdullahi Suleiman, Shamsul Baharil, Ahmad Syadzwan dan Koh Teng Huat.

Selain karya pelukis profesional, pameran turut mengetengahkan hasil seni anggota komuniti termasuk orang kurang upaya (OKU) sebagai usaha memperluas penglibatan masyarakat dalam bidang seni visual.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata pameran itu diilhamkan untuk memperingati kapal Wanli yang karam di perairan Dungun, Terengganu.

Beliau berkata pameran menampilkan karya pelukis kontemporari yang mengekspresikan sejarah dan kekayaan warisan maritim melalui lukisan selain menjadikan lautan sebagai sumber inspirasi menghasilkan karya kreatif.

“Pameran ini menonjolkan idea pelukis yang menterjemahkan lautan melalui pelbagai perspektif. Ada yang melihat lautan (dari sudut) nelayan, penyu, burung dan elemen lain yang diolah menjadi karya unik dan penuh makna,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran itu hari ini.  

Sementara itu kurator dan pelukis Elaine Wong berkata pameran tersebut merupakan fasa kedua yang diadakan selepas kejayaan fasa pertama pada Disember tahun lepas di Think City, George Town yang menampilkan 50 karya 12 pelukis.

“Fokus pada masa itu ialah interpretasi artistik dan untuk fasa kedua, projek ini berkembang melangkaui format pameran konvensional. Apa yang kita lihat sekarang bukan sahaja pameran seni tetapi juga platform kreatif.

“Kami memperkenalkan satu siri program seni kreatif termasuk pertandingan seni kanak-kanak, bengkel dan ceramah seni, tayangan filem serta sesi penceritaan komuniti selain pameran seni komuniti Draw My Nanhai Dream yang memberi ruang kepada kanak-kanak, keluarga dan komuniti untuk meluahkan kreativiti melalui tema Nanhai dari sudut pandangan mereka,” katanya.

Kapal Wanli ialah sebuah kapal Portugis yang dalam perjalanan dari tanah besar China ke Melaka dan dipercayai karam di perairan Dungun, Terengganu pada 1630 akibat serangan Belanda. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2510968