MELAKA, 11 Jan (Bernama) -- Program Beach On The Air (BOTA) Padang Temu 2026, anjuran Radio Amatur Jalur Selatan (JASRA) dengan kerjasama Kelab DXPortable dari Pekan Baru, Indonesia, berjaya merekodkan 909 panggilan antarabangsa serta 16 stesen tempatan Malaysia.
Pengendali dan operator BOTA Sapuan Samion berkata program yang bermula 6 Jan dan berakhir tengah malam semalam itu menerima panggilan daripada dua stesen Thailand dan masing-masing satu stesen daripada Rusia, China, Jepun, Korea, Australia serta beberapa negara lain.
“Program ini bukan sahaja menjadi platform latihan praktikal bagi pengendali radio amatur, malah mengeratkan hubungan persahabatan antarabangsa melalui pertukaran panggilan radio,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata BOTA Padang Temu 2026 merupakan aktiviti berkala penggiat radio amatur, khususnya dari Melaka dan Johor, bagi menguji prestasi peralatan radio berfrekuensi tinggi (HF) serta menilai propagasi setempat.
Sapuan menambah antara cabaran utama adalah propagasi HF yang berubah-ubah, terutama pada waktu siang, justeru komunikasi antarabangsa banyak dilakukan pada waktu malam.
Beliau berkata BOTA Padang Temu 2026 menggunakan frekuensi HF, 7.075 MHz untuk mod digital FT8, serta 14.148, 7.150, 7.140 dan 7.135 MHz.
Katanya peralatan yang digunakan bagi menjayakan BOTA merangkumi radio HF YaesuFT 450, antena End Feed Halve Wave EFHW-8010, bekalan kuasa Diamond GSV300 34A serta penjana elektrik petrol 2.8 KW.
Antara operator terlibat termasuk Davidcy Dave dari Pekan Baru, Indonesia, Timbalan Presiden JASRA Mustafa Bahari dan Ibrahim Yusuf.
-- BERNAMA