KUANTAN, 11 Jan (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan rasa simpati kepada mangsa banjir di Sarawak dan Sabah.
Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan baginda berdua turut mendoakan agar segala urusan rakyat yang ditimpa bencana dipermudahkan serta dikurniakan kekuatan dan ketabahan.
"Baginda berdua bertitah bahawa rakyat di Borneo sentiasa dekat di hati serta sentiasa dalam ingatan, dan mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan oleh Allah SWT," menurut hantaran itu.
Bernama melaporkan, jumlah mangsa banjir di Sarawak terus meningkat dengan 41 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka pagi tadi, menempatkan 3,890 mangsa daripada 1,175 keluarga, berbanding 3,546 mangsa daripada 1,030 keluarga di 40 PPS malam tadi.
Di Sabah, mangsa banjir direkodkan 367 orang daripada 137 keluarga berlindung di dua PPS setakat 8 pagi tadi, meningkat sedikit berbanding 363 orang daripada 136 keluarga pada petang semalam.
-- BERNAMA