JENAYAH & MAHKAMAH

96 Lagi Jeti Haram Di Sungai Golok Akan Dirobohkan

12/01/2026 06:36 PM

PASIR MAS, 12 Jan (Bernama) -- Sebanyak 96 lagi jeti haram yang dibina di atas tanah milik kerajaan di sepanjang Sungai Golok dijangka dirobohkan sepenuhnya menjelang Mac ini.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan Datuk Mohd A Aruwan Ab Aziz berkata setakat ini sebanyak 25 jeti haram telah dirobohkan di jajahan Pasir Mas dan Tumpat.

Beliau berkata secara keseluruhannya terdapat 223 jeti pangkalan haram, namun tumpuan kerajaan adalah merobohkan jeti yang berstruktur.

"Perobohan masih dalam proses secara berperingkat memandangkan jumlah keseluruhan pangkalan haram yang dikenal pasti di sepanjang Sungai Golok adalah banyak," katanya kepada pemberita di Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Pok Teh Kana, di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan) Badrul Shah Mohd Idris meluangkan masa kira-kira tiga jam melakukan lawatan ke Projek Pengambilan Tanah dan Pembinaan Pagar Keselamatan Sempadan Sungai Golok.

Mohd A Aruwan berkata operasi perobohan sebelum ini berjalan lancar hasil kerjasama yang baik antara agensi Persekutuan dan negeri.

"Sepanjang musim Monsun Timur Laut, kerja perobohan terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan dan akan diteruskan semula selepas ini dengan keutamaan kepada perobohan jeti yang dibina di atas tanah milik kerajaan," katanya.

Beliau berkata perbincangan lanjut akan dilakukan melibatkan jeti yang terletak di tanah milik persendirian bagi memastikan proses perobohan dapat dilakukan secara teratur.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2511610