JENAYAH & MAHKAMAH

Kelantan, Kedah, Perlis Fokus Penambahan Anggota JSJN – Bukit Aman

11/01/2026 03:52 PM

KOTA BHARU, 11 Jan (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan menambah keanggotaannya di negeri bersempadan bagi memperkukuh penguatkuasaan membanteras penyeludupan dadah.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata Perlis, Kedah dan Kelantan diberi keutamaan susulan rekod kes penyeludupan yang tinggi.

“Pada 2025 sahaja, 62 kes penyeludupan dadah berskala besar berjaya ditumpaskan di sempadan tiga negeri ini, termasuk 15 kes atau 25 peratus melalui laluan haram Kelantan-Thailand,” katanya di sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun banyak jeti haram di Kelantan telah dirobohkan, sindiket masih menggunakan taktik baharu dan lorong tidak berdaftar bagi menjalankan kegiatan mereka.

“Sekiranya ada penambahan jawatan, negeri-negeri sempadan ini akan menjadi keutamaan untuk memperkukuh operasi di lapangan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2511149