SUKAN

Terbuka India 2026: Jimmy-Pei Jing, Soon Huat-Shevon Mula Langkah Kanan

13/01/2026 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Beregu campuran profesional negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing memulakan langkah cemerlang pada kempen Terbuka India 2026 apabila mara ke pusingan kedua dengan menundukkan pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Maya Taguchi hari ini.

Beregu ranking ke-26 dunia itu hanya mengambil masa 36 minit untuk menyingkirkan ranking ke-52 tersebut dengan kemenangan straight set 21-10 dan 23-21 pada aksi pusingan pertama berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi. 

Menanti mereka sama ada gandingan China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping atau Mads Vestergaard-Christine Busch dari Denmark.

Mengiringi kemaraan tersebut, pasangan suami isteri Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie selepas menewaskan wakil Taiwan Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin 21-17, 21-17. 

Pilihan kelapan kejohanan itu akan menentang satu lagi pasangan Taiwan Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hui atau Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat dari Thailand di pusingan kedua.

Sementara itu, gandingan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin terpaksa melupakan hasrat untuk melangkah jauh dalam siri Super 750 itu selepas tewas kepada pilihan ketiga kejohanan dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 21-17, 16-21, 20-22.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2511930