KINABATANGAN, 13 Jan (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar berhasrat mentransformasikan Kampung Paris 3 dan Bulatan Sukau sebagai kawasan pusat pembangunan komersial yang baharu bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat.
Beliau yang mesra disapa Naim Moktar berkata sekiranya diberi mandat, perkara itu merupakan sebahagian daripada perancangannya untuk membangunkan kawasan berkenaan, sekali gus akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia.
“Kinabatangan ini luas dan potensi memang ada. Setiap satu kawasan perlu ada pusat ekonomi komersial agar dapat berkembang.
“Kalau semua berjauhan, maka tarikan kepada pelabur itu sukar. Justeru, kita mahu ia berpusat,” kata Bendahari Pemuda UMNO pusat yang juga Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan itu kepada pemberita selepas program lawatan gerak kasih di Pusat Daerah Mengundi Kampung Paris 1, di sini hari ini.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan Mohd Kurniawan Naim dicabar Datuk Saddi Abdul Rahman daripada Warisan dan calon Bebas, Goldam Hamid, manakala satu lagi PRK, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan pada 24 Jan, manakala pengundian awal pada 20 Jan ini.
-- BERNAMA