KINABATANGAN, 13 Jan (Bernama) -- Suasana sayu menyelubungi Masjid Daerah Kinabatangan di sini pada malam ini sempena majlis tahlil dan bacaan Yasin yang diadakan untuk Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Majlis dihadiri ratusan penduduk yang datang dari beberapa kawasan di Kinabatangan itu turut dihadiri ahli keluarga termasuk anaknya Mohd Kurniawan Naim, 32, serta pemimpin setempat.
Penduduk Kampung Lamag, Abdul Manan Jumat, 62, berkata pemergian Bung Moktar meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga, malah seluruh masyarakat yang pernah merasai sentuhan kepimpinan beliau.
Beliau berkata jasa dan sumbangan Allahyarham sukar digambarkan dengan kata-kata, namun kesannya masih dapat dirasai sehingga hari ini melalui kemudahan dan prasarana yang dinikmati penduduk setempat.
“Sebagai anak jati Kampung Lamag, saya memang terasa amat kehilangan beliau. Jasanya sukar digambarkan dengan kata-kata… apa yang kami nikmati hari ini, termasuk keadaan masjid yang serba lengkap adalah hasil sumbangan beliau dan perkara itu tidak dapat dinafikan.
“Allahyarham pemimpin yang disayangi tanpa mengira parti dan perasaan kehilangan itu tetap dirasai oleh semua. Alhamdulillah, hari ini kami masih diberi kesempatan untuk berhimpun bagi majlis tahlil sempena 40 hari pemergian beliau,” katanya.
Penduduk dari Sukau Muhammad Rahmad Ahmad, 42, turut menyifatkan perubahan pembangunan di Kinabatangan sejak 1999 sebagai bukti jelas legasi yang ditinggalkan Allahyarham, dengan perbezaan ketara dapat dilihat dalam aspek kemudahan asas, pendidikan dan prasarana awam berbanding sebelum ini, sekali gus mencerminkan keprihatinan seorang pemimpin terhadap keperluan asas masyarakat luar bandar.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Jafry Ariffin turut hadir pada majlis berkenaan berkata kehadiran penduduk di kawasan itu mencerminkan penghargaan masyarakat terhadap jasa Allahyarham dalam membangunkan Kinabatangan, termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Beliau berkata perubahan jelas dapat dilihat di kawasan berkenaan dengan pertambahan sekolah, kewujudan bank, hospital serta balai bomba hasil perjuangan Bung Moktar selain berharap legasi pembangunan dan khidmat bakti yang telah dirintis itu dapat diteruskan kepimpinan seterusnya demi kesejahteraan masyarakat di Kinabatangan.
Bung Moktar, 66, menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada 5 Dis tahun lepas, sekali gus terpaksa diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
PRK Kinabatangan yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara anak Allahyarham, Mohd Kurniawan Naim yang dipertaruhkan BN, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas) manakala pertandingan satu lawan satu di DUN Lamag membabitkan Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Hari pengundian adalah pada 24 Jan ini manakala pengundian awal pada 20 Jan.
-- BERNAMA