KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa terdapat 'Project Advisory Agreement' antara MKM Solutions Sdn Bhd dan Nexuscorpgroup Sdn Bhd berkaitan projek perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd Nik Shazni Farhan Nik Mohammad Shah, 43, berkata perjanjian itu berhubung bantuan syarikat MKM Solutions kepada Nexuscorpgroup dalam menyediakan dokumen-dokumen tender bagi projek tersebut.
"Tempoh sah laku perjanjian yang ditetapkan dalam dokumen itu adalah selama enam bulan untuk syarikat memperoleh tender tersebut dan jika tidak dapat tender itu, perjanjian terbabit akan terbatal.
"Nilai perjanjian adalah lima peratus daripada jumlah kontrak (jika dianugerahkan) dan ia ditentukan oleh Datuk Seri Khairi (pengarah dan pemegang saham MKM Solutions Datuk Seri Mohd Khairi Mat Jahya) sendiri. Bayaran berkaitan perjanjian ini dibayar selepas projek berjalan melibatkan jumlah lebih kurang RM19 juta (daripada RM381juta – nilai kontrak)," katanya.
Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata demikian menerusi pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin iaitu Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 43, yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan jumlah keseluruhan RM350,000.
Nik Shazni Farhan berkata beliau tidak mengetahui bagaimana Mohd Khairi berunding untuk mendapatkan kerja itu dan dengan siapa lelaki terbabit berurusan kerana beliau (Nik Shazni Farhan) hanya menerima arahan untuk menyemak dokumen perjanjian tersebut.
"Peguam yang menyediakan perjanjian ini akan berbincang dengan saya bagi menetapkan terma-terma yang terdapat dalam perjanjian ini dan saya akan memaklumkan kepada Datuk Seri Khairi. Dokumen ini ditandatangani oleh Datuk Seri Khairi dan Wan Azhar Mohamed Yusof iaitu Pengarah Urusan Nexuscorpgroup Sdn Bhd.
"Namun, saya tidak dimaklumkan berkenaan kerja-kerja yang dilakukan oleh MKM Solutions kepada Nexuscorpgroup berdasarkan terma-terma yang terdapat dalam dokumen perjanjian. Saya hanya menurut arahan Datuk Seri Khairi untuk menyediakan dokumen ini dan saya tidak pernah dimaklumkan berkenaan komisen," katanya.
Sementara itu, Nik Shazni Farhan berkata beliau mengenali Sayed Amir Muzzakkir sekitar 2018 apabila dia (Sayed Amir Muzzakki) datang ke pejabat lama beliau (Nik Shazni Farhan) di Bandar Seri Damansara.
"Saya tidak rapat dengannya kerana biasanya Sayed Amir Muzzakkir datang ke pejabat berurusan dengan Datuk Seri Khairi, saya tidak pasti urusan sebenar Sayed Amir Muzzakkir ke pejabat berjumpa dengan Datuk Seri Khairi kerana tidak pernah dimaklumkan oleh sesiapa.
"Saya tidak pernah tahu Sayed Amir Muzzakkir merupakan ahli politik sehinggalah sekitar tahun 2020, saya dapat tahu Sayed Amir Muzzakkir merupakan Setiausaha Politik (Setpol) kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Saya ada perasan dan ternampak penglibatannya sebagai Setpol daripada media massa," kata saksi itu.
Sementara itu, Nik Shazni Farhan bersetuju dengan cadangan peguam Asmadi Hussin yang mewakili Sayed Amir Muzzakkir bahawa urusan perniagaan antara MKM Solutions dan Nexuscorpgroup adalah wujud kerana terdapat peguam yang dilantik dalam penyediaan perjanjian tersebut.
Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Atirah Mohd Azuarizanuddin, Nik Shazni farhan berkata beliau berpandangan bahawa apabila melantik peguam untuk membantu menyediakan perjanjian tersebut, ia adalah satu perniagaan yang 'genuine' kerana pihak peguam juga telah memberi invois kepada pihak syarikat berkenaan perkhidmatan yang diberikan.
"Sekiranya perniagaan itu tidak 'genuine', pihak peguam sebagai satu entiti berlesen akan mengambil risiko di atas perkhidmatan yang diberikan," kata saksi terbabit dan menambah perkhidmatan itu adalah 'perkhidmatan undang-undang’.
Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Pengarah Urusan Nexuscorpgroup Sdn Bhd Wan Azhar Mohamed Yusof.
Wang itu didakwa sebagai upah untuk membantu syarikat itu mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini pada 4 petang, 4 Dis 2020, dan 3.30 petang, 16 Dis 2020.
Sayed Amir Muzzakkir juga dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama untuk tujuan yang serupa di pejabat Nexuscorp Group Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, Shah Alam, pada 4 petang awal Disember 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.
-- BERNAMA