Oleh Rohana Nasrah
KINABATANGAN, 14 Jan (Bernama) -- Penduduk Kampung Paris, sebuah perkampungan yang terletak kira-kira 56 kilometer dari pekan daerah ini, mengharapkan isu bekalan air bersih di kampung itu dapat diselesaikan oleh wakil rakyat yang baharu.
Menurut penduduk, mereka masih terperangkap dengan realiti pahit apabila terpaksa bergantung kepada tadahan air hujan sebagai sumber air utama untuk kegunaan harian.
Ini ekoran sistem perpaipan sudah terlalu usang sehingga menyukarkan penduduk di kampung itu termasuk kawasan sekitarnya menikmati bekalan air bersih sama seperti beberapa perkampungan lain di daerah ini.
Peniaga makanan Noraini Jamal, 23, berkata isu bekalan air bersih masih berlarutan sehingga kini tanpa sebarang penyelesaian tuntas, sekali gus menjejaskan kehidupan harian penduduk.
“Kami berdepan masalah kekurangan bekalan air dan isu ini masih berpanjangan sampai sekarang. Kami hanya mengharapkan kepada air hujan sahaja, selain bergantung air dari kolam berhampiran dengan bantuan pam air,” katanya kepada Bernama.
Seorang lagi penduduk, Normansah Hussin, 33, yang turut senada meminta perhatian segera diberikan terhadap isu bekalan air di kampung itu dan kawasan sekitarnya selain daripada infrastruktur jalan raya yang baik.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar, 32, mengakui perkara itu, antara isu yang dibangkitkan ketika bertemu dengan penduduk kampung berkenaan.
Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan itu yang lebih mesra disapa Naim Moktar berkata isu itu bukanlah perkara baharu dan Allahyarham bapanya Datuk Seri Bung Moktar Radin, pernah membawa isu berkenaan dalam Dewan Rakyat.
Mohd Kurniawan Naim berikrar untuk terus menyuarakan permasalahan itu dan akan memastikan ia dapat diselesaikan segera sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, 24 Jan ini.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili BN, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlaku antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kedua-dua kerusi berkenaan Bung Moktar, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
Hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan ditetapkan pada 24 Jan, manakala pengundian awal pada 20 Jan ini.
-- BERNAMA