JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Johor Reman Pegawai Syariah, Peguam Syarie Terlibat Kartel Hibah

14/01/2026 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan reman seorang pegawai syariah dan seorang peguam syarie kerana disyaki meminta serta menerima wang rasuah kira-kira RM91,000 sebagai balasan untuk mengeluarkan Perintah Pengesahan Hibah bagi tujuan pertukaran hak milik.

Majistret Ahmad Khairuddin Khalid membenarkan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari hingga 20 Jan ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berumur lingkungan 40 dan 50-an itu ditahan berasingan semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Johor pada kira-kira 8 malam.

“Siasatan awal mempercayai kedua-dua suspek bersubahat melakukan perbuatan terbabit antara 2016 hingga 2018.

“Kedua-dua suspek disyaki telah menerima wang rasuah secara tunai daripada 13 penerima hibah dengan setiap seorang kira-kira RM7,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2512463