AM

Tuanku Muhriz Zahir Kebimbangan Gejala Rasuah, Kesal Pihak Sokong Individu Bersalah

14/01/2026 12:53 PM

KUALA PILAH, 14 Jan (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan kebimbangan terhadap gejala rasuah, yang kini dilihat semakin berleluasa serta kecewa dengan pihak yang menyokong individu disabitkan bersalah.

Baginda bertitah rasuah ialah musuh utama kepada keadilan, amanah dan masa hadapan negara. 

"Beta amat terperanjat dan kecewa apabila masih wujud pihak terus memberikan sokongan kepada individu yang telah disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah yang amat besar, seolah-olah perbuatan  itu boleh diterima dan dimaafkan. 

"Sikap sedemikian bukan sahaja mencerminkan kegagalan memahami bahaya rasuah yang meruntuhkan integriti institusi dan asas moral masyarakat, malah menuntut penilaian yang lebih mendalam terhadap akidah, prinsip hidup dan nilai pegangan diri," titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-78 baginda di Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini. 

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Susulan itu, Tuanku Muhriz menyeru kepada mereka yang masih menyokong penjenayah seperti ini segera bermuhasabah serta menilai semula pendirian dan kepercayaan masing-masing.

Baginda bertitah sebarang bentuk toleransi atau kompromi terhadap rasuah adalah bertentangan dengan prinsip kebenaran, keadilan serta amanah, dan sama sekali tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut menzahirkan penghargaan kepada kejayaan jentera kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun serta warga perkhidmatan awam Persekutuan dan negeri serta pasukan keselamatan yang sentiasa taat setia dalam menggalas amanah untuk Negeri Sembilan.

"Beta mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri dan seluruh jentera pentadbiran atas pengiktirafan sebagai negeri paling progresif pada tahun-tahun lepas serta pelbagai kejayaan yang dicapai pada peringkat nasional dan antarabangsa.

"Beta turut dimaklumkan bahawa kerajaan negeri terus mengekalkan pengurusan kewangan yang berhemah dengan prestasi hasil dan perbelanjaan yang positif serta perancangan belanjawan yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan," titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah pencapaian itu mencerminkan kesungguhan, integriti dan kecekapan yang tinggi dalam tadbir urus negeri, serta kerjasama yang erat dalam memajukan Negeri Sembilan.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak dalam sektor swasta, badan bukan kerajaan serta seluruh lapisan rakyat atas sumbangan, sokongan dan kesungguhan mereka dalam meneruskan kesinambungan usaha pembangunan negeri ini.

“Penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri ini mempunyai amanah dalam menjaga kemuliaan dan pengiktirafan yang dikurniakan ini dengan memastikan imej, tatasusila, tingkah laku dan keperibadian masing-masing sentiasa terpelihara,” titah baginda.

Istiadat hari ini, menyaksikan Tunku Kecil Muda Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin mendahului senarai 532 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat, dianugerahkan Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (SSTM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi pula dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang turut membawa gelaran Datuk Seri.

-- BERNAMA

KEYWORDS
   
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2512247