JENAYAH & MAHKAMAH

Lindung Perniagaan Haram: SPRM Reman Enam Lagi Anggota, Pegawai Polis

14/01/2026 02:58 PM

GEORGE TOWN, 14 Jan (Bernama) -- Enam lagi anggota dan pegawai polis termasuk seorang pesara ditahan reman kerana disyaki meminta serta menerima rasuah kira-kira RM117,000.

Sogokan itu dipercayai sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap dua pemilik syarikat yang melakukan kesalahan undang-undang seperti pusat hiburan, pusat urut dan judi haram.

Majistret Syahirah Abdul Salim mengeluarkan perintah reman selama lima hari hingga 18 Jan selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 60-an itu ditahan antara 11 pagi hingga 4 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang.

"Siasatan awal mempercayai kesemua suspek melakukan perbuatan tersebut antara 2016 hingga 2021 dengan modus operandi yang sama, iaitu menerima rasuah antara RM500 hingga RM2,000 setiap bulan.

"Seorang suspek disyaki telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun pihak ketiga, manakala lima lagi ke akaun peribadi masing-masing daripada pemilik syarikat pinjaman wang berlesen dan pemilik syarikat perkhidmatan kesihatan manusia serta judi haram," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Semalam, seorang pegawai polis berpangkat ASP ditahan reman kerana disyaki meminta serta menerima suapan kira-kira RM27,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap dua pemilik syarikat yang melakukan kesalahan seperti pusat hiburan, pusat urut dan judi haram.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2512323