JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Pengerusi NGO Serantau Muslim Didakwa Lagi

14/01/2026 01:06 PM

IPOH, 14 Jan (Bernama) -- Bekas Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Mohd Hakim Mohd Nor sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, kali ini atas 10 pertuduhan menyalahgunakan harta milik pertubuhan itu.

Mohd Hakim, 39, didakwa telah menyalahgunakan wang derma bantuan bagi misi kemanusiaan yang dikutip pertubuhan itu dengan kerjasama NGO di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin berjumlah RM631,373.13. 

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hakim didakwa secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta milik pertubuhan itu di beberapa bank di sekitar Ipoh, Batu Gajah dan Bandar Seri Iskandar antara Januari 2018 hingga Disember 2021. 

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan maksimum lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin dan Asmaa' Zamri memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 1 Melaka untuk dibicara bersama dengan kes tertuduh di negeri tersebut sebelum ini. 

Peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan itu.

Meor Sulaiman kemudian memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Melaka dan wang jaminan dalam kes tersebut diguna pakai bagi kes ini.

Semalam, Mohd Hakim didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas enam pertuduhan sama iaitu menyalahgunakan harta milik pertubuhan itu membabitkan wang derma bantuan bagi misi kemanusiaan berjumlah RM576,995.40 antara Jun 2019 hingga Mei 2021.

Pada Isnin lepas, dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan menyalahgunakan wang derma bantuan misi kemanusiaan berjumlah RM207,000 tujuh tahun lepas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2512256