AM

Kementerian Perpaduan Negara Anjur Acara Khusus Kenang Jasa Tun Abdul Razak

14/01/2026 05:50 PM

PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara diminta menganjurkan acara khusus memperingati jasa bakti Perdana Menteri Kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sepanjang Bulan Kebangsaan tahun ini.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu diusulkan ketika Mesyuarat Jemaah Menteri yang antara lain menyentuh tentang ulang tahun ke-50 pemergian Tun Abdul Razak yang jatuh pada hari ini.

“ … dan ini merupakan satu tarikh yang penting bukan hanya untuk diperingati dan seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini, pada setiap tahun sepanjang Bulan Kebangsaan, akan ada tokoh, negarawan yang (diingati menerusi) satu acara khusus.

“Perdana Menteri telah meminta Kementerian Perpaduan Negara untuk menyediakan satu acara khusus untuk memperingati jasa bakti Allahyarham Tun Abdul Razak yang akan diadakan sepanjang Bulan Kebangsaan menuju Hari Kebangsaan,” katanya dalam sidang media pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Tun Abdul Razak yang dikenang sebagai Bapa Pembangunan merupakan Perdana Menteri Malaysia Kedua dari September 1970 hingga 1976.

Beliau meninggal dunia pada 14 Jan 1976 di London akibat penyakit leukemia ketika berusia 54 tahun.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2512412