JENAYAH & MAHKAMAH

Jurujual Lelaki Didakwa Berpakaian, Berkelakuan Seperti Wanita Di KTCC

14/01/2026 03:47 PM

KUALA TERENGGANU, 14 Jan (Bernama) -- Seorang jurujual lelaki sebuah kedai permainan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas tuduhan berpakaian dan berkelakuan seperti wanita, tahun lepas.

Mohd Lukman Mohamad Aluddin, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Syarie Hamidi Shafie.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kuala Terengganu City Centre pada 12 Mei tahun lepas mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, tertuduh berdepan hukuman maksimum enam sebatan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, dan denda RM5,000.

Mahkamah membenarkan Mohd Lukman diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 10 Feb depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2512350