KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa peranannya dalam SRC International Sdn Bhd hanya terhad kepada memberi kelulusan serta menggunakan kuasa veto powers, dan beliau tidak membuat sebarang pelantikan atau pindaan dalam syarikat itu.
Najib, 72, berkata beliau hanya meluluskan pelantikan ahli lembaga pengarah yang dikemukakan kepadanya dan tidak terlibat dalam mencadangkan atau memilih calon.
Beliau berkata demikian ketika dirujuk kepada sepucuk surat bertarikh 1 Ogos 2011, yang menunjukkan kelulusannya terhadap pelantikan Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Suboh Yassin, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai ahli lembaga pengarah SRC.
"Saya menggunakan kuasa veto di bawah Perkara 67 Memorandum dan Artikel Persatuan SRC namun saya tidak memulakannya (pelantikan ahli lembaga pengarah)," katanya semasa disoal balas oleh peguam SRC Kwan Will Sen dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan oleh SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, terhadap beliau.
Kepada soalan Kwan sama ada bekas Ahli Parlimen Pekan itu boleh mengemukakan bukti bahawa pelantikan ahli lembaga pengarah SRC tidak dimulakan oleh beliau, Najib menjawab tidak.
"Saya tidak dapat menunjukkan bukti seperti itu, bagaimanapun saya boleh memberi keterangan bahawa saya tidak mengenali sesetengah daripada individu terbabit secara peribadi.
"Mereka (pihak pengurusan) yang perlu mencari dan menamakan siapa yang mereka mahu (sebagai ahli lembaga pengarah). Saya hanya membuat keputusan akhir," katanya sambil menambah bahawa beliau tidak mengenali Nik Faisal tetapi individu itu telah disyorkan oleh pihak pengurusan kerana memiliki kelayakan yang sesuai.
Najib juga menolak cadangan bahawa langkah memberi kelulusan kepada pelantikan kelima-lima individu bermaksud beliau mengawal ahli lembaga pengarah berkenaan kerana kuasa untuk menolak sesuatu cadangan tidak sama dengan kuasa untuk membuat cadangan tersebut.
Najib turut menafikan bahawa kedudukannya membolehkan beliau memberi arahan dalam urusan SRC dan menegaskan keputusan pihak pengurusan dibuat secara bebas oleh syarikat itu.
Saman itu, yang difailkan pada 2021, membabitkan SRC dan Gandingan Mentari yang memohon deklarasi bahawa Najib bertanggungjawab terhadap mereka atas penerimaan RM42 juta serta menuntut ganti rugi bagi penerimaan dengan pengetahuan, bantuan tidak jujur, tort salah laku dalam jawatan dan penyalahgunaan kuasa.
SRC sebelum ini menggugurkan enam pengarah daripada saman itu termasuk Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Suboh Md Yassin serta Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal namun Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan beliau mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 21 Jan ini.
-- BERNAMA