BUTTERWORTH, 14 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan tiga kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 hasil serbuan berasingan di sekitar Sungai Bakap dan Pekan Darat, bermula semalam.
Pengarah KPDN Negeri S. Jegan berkata operasi pertama dijalankan pada 11.30 pagi semalam di Sungai Bakap, manakala dua lagi serbuan di Pekan Darat dan Butterworth dilaksanakan pada 10 pagi hari ini, hasil risikan dan intipan pihaknya sejak sebulan lalu.
Beliau berkata pihaknya merampas pelbagai minyak masak polibeg bersubsidi bernilai lebih RM25,962 dalam tiga serbuan tersebut. Modus operandi sindiket adalah memotong minyak masak daripada bungkusan polibeg satu kilogram (kg) sebelum memindahkannya ke dalam tong tangki.
"Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga stor ini telah beroperasi selama dua hingga enam bulan tanpa mengemukakan sebarang dokumen lesen atau permit sah untuk memiliki dan mengurus barang kawalan berjadual.
"Serbuan di sebuah rumah di Pekan Darat mendapati sindiket menggunakan rumah kampung yang sudah tidak didiami sebagai lokasi pembungkusan semula. Dua lelaki tempatan berusia 30-an, dipercayai pekerja sindiket telah ditahan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di Pekan Darat, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Jegan berkata siasatan awal mendapati sindiket di Pekan Darat menjalankan kegiatan secara berskala kecil tetapi berulang, dengan kekerapan sehingga dua kali seminggu, yang boleh mencecah sehingga 24 tan minyak masak bersubsidi sebulan.
Menurutnya, semua minyak yang dikumpul kemudian diisi semula ke dalam tong berkapasiti 17kg dan dijual kepada restoran atau sektor industri pada harga sekitar RM4 sekilogram, sekali gus mengaut keuntungan haram sehingga lebih RM24,000 sebulan.
Beliau berkata pihaknya merampas 944kg minyak masak dalam tong, 1,600kg minyak masak dalam polibeg, dua unit tangki IBC berkapasiti besar, serta pelbagai peralatan pemindahan seperti pam motor, hos, corong minyak dan pisau pemotong hasil pemeriksaan lanjut di rumah itu.
Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi tersebut. Kertas siasatan telah dibuka dan tindakan diambil mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
-- BERNAMA