JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Dua Lelaki Bersama MDMA Bernilai RM347,000 Di George Town

14/01/2026 06:49 PM

GEORGE TOWN, 14 Jan (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan dua lelaki dan merampas methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM347,000 dalam satu operasi bersepadu di sekitar kawasan pusat bandar, di sini, bermula Isnin hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata operasi itu dijalankan bermula pukul 10  malam Isnin hingga 3.53 pagi semalam oleh Pasukan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut hasil risikan dan intipan yang dijalankan.

"Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 47 dan 53 tahun dalam sebuah kereta serta merampas 130 paket plastik pelbagai warna yang mengandungi serbuk dipercayai dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 2.07 kilogram bernilai RM347,000," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata hasil risikan mendapati kegiatan pengedaran dadah yang aktif sejak Oktober tahun lepas adalah untuk pasaran tempatan, khususnya di pusat hiburan dan semua dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 6,928 penagih.

Abdul Rozak memaklumkan saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah, manakala suspek kedua pula mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah.

Katanya polis turut menyita tiga kenderaan, wang tunai serta sebentuk cincin dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM624,800.

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 19 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2512451