KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia–Soh Wooi Yik, mengesahkan tempat ke pusingan kedua Terbuka India 2026 selepas pasangan senegara Kang Khai Xing-Aaron Tai, menarik diri akibat kecederaan pada perlawanan pusingan pertama di New Delhi,hari ini.
Aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi itu hanya mengambil masa 21 minit sebelum Khai Xing-Aaron Tai mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan ketika Aaron-Wooi Yik sedang mendahului 21-12, 11-6.
Menurut kenyataan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikongsi kepada media Malaysia, Aaron Tai mengalami sakit belakang yang memaksanya menarik diri.
Pada pusingan kedua, Aaron-Wooi Yik dijadualkan bertemu pasangan Jepun, Takumi Nomura-Yuichi Shimogami yang menewaskan satu lagi wakil negara Arif Junaidi-Yap Roy King dalam perlawanan sengit 26-28, 21-18, 22-20.
Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara Chia Weijie-Lwi Sheng Hao tersingkir selepas tewas 18-21, 15-21 kepada gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita.
Selain itu, satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin, mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Choi Sol Gyu–Goh V Shem, 19-21, 21-16, 21-10.
Dalam pusingan kedua, pasangan Malaysia itu akan bertemu sama ada pasangan England, Ben Lane–Sean Vendy, atau wakil Taiwan, Lee Jhe-Huei–Yang Po-Hsuan.
Sementara itu, dalam beregu wanita negara Pearly Tan–M. Thinaah mengekalkan prestasi cemerlang Malaysia dengan kemenangan straight set ke atas pasangan India, Kavipriya Selvam–Simran Singhi, 21-18, 21-6, dan dijadual berdepan pasangan Perancis, Margot Lambert–Camille Pognante.
Namun, satu lagi beregu wanita negara Ong Xin Yee–Carmen Ting tersingkir selepas tewas 17-21, 15-21 kepada pasangan Taiwan, Hsieh Pei Shan–Hung En-Tzu.
-- BERNAMA