KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Inisiatif Dapur Digital yang dilaksanakan di 15 lokasi sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya menjana pulangan ekonomi lebih RM2.5 juta dalam tempoh 18 bulan, membuktikan keberkesanan model pemerkasaan komuniti berasaskan keusahawanan digital.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pencapaian itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan usaha gigih peserta, khususnya golongan wanita B40, yang kini muncul sebagai penggerak ekonomi baharu negara.
“Saya sangat berbangga dengan anda semua kerana RM2.5 juta ini bukan satu angka ataupun jumlah yang ‘kaleng-kaleng’, ini satu jumlah yang sangat memberangsangkan. Anda telah membuktikan dengan sokongan yang betul, kemahiran dan semangat kerjasama, komuniti mampu menjana pendapatan yang mampan dan peluang yang lebih baik.
“Bukan itu sahaja, saya juga dimaklumkan peserta dari PPR (Projek Perumahan Rakyat) Kerinchi dan PPR Kampung Limau berjaya dapatkan empat unit lot kedai di Bazaria Pantai, tahniah,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi Dapur Digital di sini malam ini.
Beliau berkata inisiatif Dapur Digital, sebuah eksperimen sosial daripada Pepper Labs, telah menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan dan wajib dibawa ke kawasan lain.
Pada masa sama, Fahmi turut menyatakan sokongan penuh kepada hasrat Pepper Labs untuk memperluas Dapur Digital ke 15 lokasi lain di seluruh negara.
Beliau berharap peserta Dapur Digital yang berjaya dapat tampil sebagai mentor kepada kumpulan baharu nanti, sekali gus menjadi bukti hidup bahawa usaha bersungguh-sungguh dengan sokongan kemahiran dan peralatan yang betul mampu mengubah kehidupan.
Sementara itu, seorang peserta dari PPR Kerinchi, Normah Hamzah, 48, berkata inisiatif Dapur Digital berjaya membantunya untuk meningkatkan pendapatan daripada sekitar RM60-80 sehari menerusi penjualan nasi lemak di tepi jalan kepada pendapatan yang lebih baik dan stabil.
“Menerusi inisiatif ini, saya kini mempunyai dapur yang kondusif dan bersih untuk meraih pendapatan yang baik, berniaga pun lebih kurang dari 6.30 hingga 8.30 pagi sahaja, tidak perlu risau hujan panas,” kata ibu tunggal yang perlu menyara tujuh anak itu.
Berkongsi kisah sama, Suhailah Sharip berkata Dapur Digital membantu beliau dan rakan-rakannya untuk mengembangkan perniagaan mengikut peredaran teknologi semasa.
“Menerusi Dapur Digital kita belajar penggunaan media sosial, macam mana cara kita nak perkenalkan diri, kembangkan perniagaan, cara berinteraksi dengan pelanggan. Alhamdulillah, daripada apa yang kita dah belajar, kita masukkan dalam perniagaan dan nampak peningkatan,” katanya.
Pada majlis itu, Fahmi turut menyaksikan penyerahan Malaysia Book of Records sebagai “Dapur Digital Komuniti Paling Banyak oleh Sebuah Perusahaan Sosial” kepada Dapur Digital selain menyampaikan sijil penyertaan.
Projek Dapur Digital ialah inisiatif pemerkasaan komuniti B40, khususnya ibu tunggal dan belia, melalui ekonomi digital yang dilaksanakan hasil kerjasama strategik beberapa agensi kerajaan dan rakan korporat.
Dapur Digital berfungsi sebagai hab ekonomi yang membolehkan usahawan mikro menjana pendapatan dengan memanfaatkan platform penghantaran makanan digital bagi memperluas pasaran dan meningkatkan jualan.
-- BERNAMA