KUALA LUMPUR 15 Jan (Bernama) -- Wartawan Free Malaysia Today (FMT) Rex Tan hari ini memohon maaf secara terbuka berhubung soalan yang diajukan semasa ceramah awam bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ pada 12 Jan lepas.
Dalam kenyataan, Tan menyatakan rasa kesal mendalam terhadap soalan yang dirangka dengan tidak baik itu, mengakui bahawa soalan berkenaan kurang relevan dengan acara dan tidak mengambil kira sensitiviti topik tersebut.
Beliau khususnya memohon maaf kerana menyebut kaum Cina dan Melayu dalam soalan itu, dengan menegaskan bahawa rujukan tersebut tidak perlu dan sepatutnya dielakkan.
“Saya amat kesal atas soalan saya yang dirangka dengan kurang tepat, kegagalan saya menilai relevansinya dengan acara ini, serta kerana menanyakan soalan itu tanpa mengambil kira sensitiviti topik.
“Yang paling penting, saya amat menyesal kerana menyebut kaum Cina dan Melayu, yang sepatutnya langsung tidak disebut sama sekali,” kata Tan dalam kenyataan FMT.
Tan juga mengakui bahawa rujukannya kepada Malaya dalam soalan tersebut adalah keterlaluan, tidak relevan, mengelirukan, dan tidak perlu. Beliau memohon maaf kerana tidak menepati profesionalisme sebagai seorang wartawan dan menegaskan bahawa beliau sendiri bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kontroversi itu.
“Saya tidak akan menyalahkan mana-mana pihak, kerana ketidaktahuan saya sendiri telah mencetus kontroversi ini. Saya berharap orang ramai tidak mengkritik FMT Media secara keterlaluan atau, lebih teruk, menyerang keluarga dan insan tersayang saya.
Saya juga berharap orang ramai memahami bahawa soalan saya tidak menggunakan istilah ‘apartheid’ atau membandingkan keadaan masyarakat Cina Malaysia kini dengan situasi Palestin. Saya telah menjelaskan perkara ini semasa peluang bercakap kedua, apabila saya menyatakan: ‘Saya tidak membandingkan keadaan masyarakat Cina Malaysia sekarang dengan Palestin. Ia tidak tergambar,’” jelasnya.
Tan menegaskan sokongan beliau terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan membebaskan diri daripada pendudukan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki.
Beliau turut menggesa orang ramai bersikap berhemah dan mengelak daripada menyebarkan atau mengulas perkongsian yang boleh menimbulkan salah faham, sekali gus menimbulkan ketegangan dalam perbincangan awam.
“Sekali lagi, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kontroversi dan ketegangan yang timbul. Saya memohon maaf dengan sepenuh hati atas kesilapan serius ini dan berharap tiada kerosakan lanjut akan menimpa FMT Media atau insan tersayang saya,” katanya.
Kontroversi ini tercetus daripada ceramah awam tersebut yang menampilkan ahli politik British, George Galloway, di mana soalan yang diajukan Tan menarik kritikan meluas di media sosial.
-- BERNAMA