AM

Malaysia Perkukuh Kedudukan Menerusi Tiga Kemenangan Anugerah Digital ASEAN 2026

16/01/2026 03:42 PM

PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju inovasi digital serantau selepas tiga syarikat tempatan meraih anugerah tertinggi pada Anugerah Digital ASEAN 2026 yang diadakan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) 2026 sekali gus membuktikan keupayaan dan sumbangan negara kepada landskap digital Asia Tenggara. 

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pencapaian itu mencerminkan ekosistem inovasi digital Malaysia yang semakin berkembang maju dan terus menghasilkan pelbagai penyelesaian berimpak merentas industri. 

“Kita mempunyai pemenang dalam sektor kesihatan, pelancongan dan pembinaan. Saya tahu kita memiliki lebih banyak lagi syarikat tempatan yang sentiasa berinovasi, yang melangkaui sempadan teknologi dengan idea dan penyelesaian baharu untuk membantu industri masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Gobind yang berada di Hanoi, Vietnam bagi menghadiri ADGMIN keenam yang berakhir hari ini, berkata pencapaian itu boleh dicapai menerusi dasar mesra inovasi dan ekosistem digital yang kukuh. 

“Kementerian Digital akan terus membantu merancakkan inovasi dilakukan penyelidik dan pencipta tempatan kerana produk mereka akan memberi sumbangan besar kepada ekonomi digital Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

Gobind juga berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan terus berinovasi dan mencari penyelesaian teknologi baharu yang seterusnya meletakkan negara ini sebagai hab inovasi digital terkemuka yang didorong oleh bakat yang menerima anugerah. 

UMCH Technology Sdn Bhd dinobatkan sebagai pemenang utama kategori Sektor Swasta, Innoveam Sdn Bhd meraih gangsa manakala Enfiniti Interactive Xperiences Sdn Bhd memenangi hadiah utama (Emas) kategori Kandungan Digital.

Inisiatif WeHealth oleh UMCH Technology merupakan sistem kesihatan digital yang inovatif, komprehensif serta berasaskan bukti yang direka untuk mengubah penjagaan penyakit kronik dan penyampaian penjagaan kesihatan primer.

Sistem yang dibangunkan penyelidik Universiti Malaya merupakan platform yang menghubungkan doktor dan pesakit melalui aplikasi mudah alih, peranti boleh pakai Internet benda (IoT) dan portal khusus, membolehkan pendekatan penjagaan kesihatan yang lancar dan dipacu data.

Projek Collaveo oleh Innoveam pula platform pengkomputeran industri generasi seterusnya dan DataOps 3D yang mengintegrasikan kembar digital 3D, data operasi masa nyata, analisis kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin, simulasi gred kejuruteraan dan realiti lanjutan ke dalam persekitaran yang selamat serta modular untuk industri bermisi kritikal.

Sementara itu, Enfiniti Interactive Xperiences menarik perhatian para juri dengan projek Dream Forest Langkawi yang diletakkan sebagai tarikan malam imersif pertama di Malaysia.

Pengalaman itu menggabungkan penceritaan kreatif dengan teknologi digital canggih dalam hutan hujan berusia 100 juta tahun, menawarkan naratif multisensori luar berskala besar yang berakar umbi dalam warisan semula jadi dan budaya negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513189