AM

500 Projek Di Kelantan Babitkan Peruntukan Lebih RM27 Bilion Sedang Dipantau - ICU JPM

17/01/2026 12:48 PM

KOTA BHARU, 17 Jan (Bernama) -- Sebanyak 500 projek pembangunan dan infrastruktur di Kelantan meliputi 118 projek baharu serta 382 projek sambungan, sedang dipantau Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) setakat ini.

Pengarah ICU JPM Kelantan Jasri Kasim berkata kesemua projek tersebut memperuntukkan sejumlah RM27.46 bilion yang disalurkan menerusi Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Antara projek sedang dipantau dan dilaksanakan adalah Pembesaran Jalan Pasir Hor di Kota Bharu, pembangunan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), naik taraf sekolah dan klinik.

"Kita sedang pantau semua projek ini untuk pastikan ia siap mengikut jadual ditetapkan dan sekiranya lewat siap kita akan ambil tindakan berdasarkan isu yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI, Kampung Guchil Bayam, Mukim Bayang di sini hari ini.

Jasri berkata apabila projek-projek berkenaan siap ia akan memberi perubahan besar kepada kesejahteraan rakyat di Kelantan dari segi ekonomi, sosial dan peluang pekerjaan.

Pada majlis tersebut, Jasri berkata hampir 10,000 penduduk melibatkan empat buah kampung telah menjadi Kampung Angkat MADANI di bawah ICU JPM Kelantan setakat ini.

Beliau berkata empat kampung terbabit ialah Kampung Guchil Bayam dan Kampung Sungai Keladi di Kota Bharu serta Kampung Belimbing dan Kampung Pangkal Manak di Tanah Merah. 

"Pelbagai inisiatif pembangunan serta kerja baik pulih infrastruktur asas akan diberi tumpuan termasuk di Kampung Guchil Bayam.

"Antara dilakukan di kampung ini adalah kerja-kerja menaik taraf pagar kubur, longkang dan jalan kampung serta bantuan baik pulih rumah bagi penduduk miskin di bawah eKasih," katanya.

Beliau berkata projek tambahan seperti pembaikan jalan serta penambahbaikan taman rekreasi turut dirancang bagi meningkatkan keselamatan, kelancaran mobiliti dan ruang komuniti.

Menurutnya, pelaksanaan majlis ini menggambarkan pendekatan whole-of-government oleh kerajaan MADANI yang menekankan penyelarasan efektif antara kementerian, jabatan dan agensi bagi memastikan keperluan asas masyarakat dipenuhi secara teratur dan berfokus.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513454