JENAYAH & MAHKAMAH

Wartawan Ditahan Disyaki Bangkit Isu Berbaur Perkauman

17/01/2026 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang wartawan bagi membantu siasatan berhubung penularan rakaman video yang membangkitkan isu perkauman dalam satu wacana mengenai Palestin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata suspek yang berusia 30 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, kira-kira 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata siasatan dijalankan susulan pertanyaan wartawan Free Malaysia Today (FMT) berkenaan kepada ahli politik United Kingdom, George Galloway, dalam wacana terbuka pada 12 Jan lepas itu, disyaki berbaur perkauman dan hasutan.

"Dalam sesi tersebut, wartawan berkenaan telah membuat pertanyaan mengenai isu Palestin dengan membandingkannya dengan keadaan perkauman di Malaysia.

"Setakat ini, sebanyak tiga laporan polis telah diterima berkaitan isu yang sama, sekali gus mencerminkan kegusaran orang awam terhadap insiden berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kumar berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang dipercayai menimbulkan hasutan serta permusuhan dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruang awam mahupun media sosial demi memelihara ketenteraman awam.

Semalam, wartawan berkenaan memohon maaf secara terbuka berhubung tindakannya dan amat kesal terhadap soalan itu, selain mengakui soalan berkenaan kurang relevan dengan acara dan tidak mengambil kira sensitiviti topik.

Dia memohon maaf kerana menyebut kaum Cina dan Melayu dalam soalan itu, dengan menegaskan bahawa rujukan tersebut tidak perlu dan sepatutnya dielakkan.

Kontroversi itu tercetus daripada ceramah awam berkenaan yang menampilkan ahli politik British, George Galloway, yang soalan diajukan menarik kritikan meluas di media sosial.

Sementara itu, peguam mewakili wartawan berkenaan Rajsurian Pillai berkata anak guamnya direman selama sehari dan dijangka dibebaskan pada petang ini selepas selesai memberikan keterangan.

Difahamkan wartawan berkenaan telah pun meletakkan jawatan.

Dalam pada itu, Majlis Media Malaysia dalam satu kenyataan berharap pihak polis mengambil pendekatan lebih bersesuaian untuk mengatasi perkara sedemikian dan tidak mengambil tindakan yang boleh menggugat profesion kewartawanan dan kebebasan akhbar.

Menurut kenyataan itu, wartawan terbabit telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan meletak jawatan, selain menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada siasatan polis yang sedang dijalankan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513465