DUNIA

GCC Sambut Baik Fasa Kedua Perjanjian Gaza, Pembentukan Jawatankuasa Nasional Palestin

17/01/2026 06:49 PM

RIYADH, 17 Jan (Bernama-SPA) -- Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Jasem Albudaiwi menyambut baik peralihan ke fasa kedua perjanjian Gaza, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

GCC turut mengalu-alukan pembentukan Jawatankuasa Nasional Palestin untuk mentadbir Semenanjung Gaza sepanjang tempoh peralihan, selaras dengan rangka kerja antarabangsa.

Albudaiwi menzahirkan penghargaan beliau kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berhubung Majlis Keamanan serta usaha pengantaraan bersama oleh Qatar, Mesir, dan Turkiye dalam melaksanakan perjanjian Gaza.

Beliau menekankan bahawa kestabilan serantau bergantung kepada laluan politik yang adil dan menyeluruh.

Selain itu, beliau turut menegaskan kepentingan memperkasakan Jawatankuasa Nasional Palestin untuk melaksanakan tugasnya, di samping memastikan gencatan senjata kekal, menghentikan segala pencabulan, dan menjamin aliran bantuan kemanusiaan tanpa halangan bagi mempercepatkan pemulihan awal Gaza.

Albudaiwi mengulangi sokongan padu GCC terhadap hak sah rakyat Palestin, terutamanya penamatan pendudukan Israel di seluruh wilayah Palestin dan penubuhan negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

Beliau berkata perkara itu mestilah selaras dengan resolusi antarabangsa, Inisiatif Keamanan Arab, dan penyelesaian dua negara.

-- BERNAMA-SPA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513607