AM

Kerajaan Hasrat Kerjasama Dengan PAM Ubah Suai Ruang Awam Di Kuala Lumpur

17/01/2026 03:34 PM

KUALA LUMPUR, Jan 17 (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berhasrat untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) bagi meneroka idea baharu dalam mengubah suai ruang awam di Kuala Lumpur (KL), kata Menterinya Hannah Yeoh.

Beliau berkata kerjasama itu untuk memastikan infrastruktur berkenaan benar-benar menyokong aktiviti harian dan kesejahteraan penduduk bandar, selaras dengan usaha ibu negara mencari kaedah lebih baik bagi mengoptimumkan penggunaan tanah awam yang terhad.

"Kemudahan itu amat penting jika bandar raya ini serius dalam menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduknya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Festival Seni Bina Kuala Lumpur (KLAF) 2026, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan pada pelancaran itu, beliau berkata usaha membentuk semula KL dalam tempoh masa terhad memerlukan kerjasama rapat dengan profesional di luar sektor perkhidmatan awam.

“ … saya perlu menambah baik Kuala Lumpur dan ia tidak boleh dilakukan sendirian atau hanya dengan penjawat awam sahaja, saya perlu bekerjasama dengan profesional seperti anda,” katanya.

Berdasarkan pengalaman sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah berkata transformasi yang bermakna sudah pasti memerlukan masa, keberanian dan kesediaan untuk mencuba pendekatan baharu, walaupun berisiko gagal pada peringkat awal. 

“Transformasi Malaysia mengambil masa dan memerlukan keberanian untuk keluar daripada kelaziman, dengan melakukan perkara baharu,” katanya sambil menambah bahawa mendengar saranan dan idea rakan industri ialah kunci untuk mencapai hasil yang mampan.

Beliau berkata kerjasama dengan arkitek juga akan dapat meneliti isu secara lebih meluas seperti reka bentuk perumahan dan tandas awam, serta kemudahan yang membolehkan lebih ramai wanita bersenam secara berkala.

“Jika kita mahu wanita bersenam dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat di Kuala Lumpur, kita memerlukan kemudahan seperti bilik mandi awam,” katanya.

KLAF 2026 anjuran PAM selama setahun itu mengetengahkan seni bina, reka bentuk, kreativiti dan penglibatan awam di bawah tema “Future Culture”.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513526