DUNIA

Bekas PM Jepun Yoshihide Suga Bersara, Mahu Beri Laluan Kepada Pemimpin Muda

18/01/2026 09:13 AM

TOKYO, 18 Jan (Bernama-Kyodo) -- Bekas Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga mengumumkan pada Sabtu keputusan untuk bersara sebagai Ahli Parlimen, atas faktor usia serta keinginan untuk memberi laluan kepada generasi muda, lapor agensi berita Kyodo.

Keputusan itu dibuat memandangkan pilihan raya umum dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Suga merupakan pembantu yang rapat dengan mendiang Perdana Menteri Shinzo Abe dan pernah berkhidmat sebagai jurucakap kerajaan selama tujuh tahun lapan bulan, iaitu tempoh paling lama dalam sejarah negara itu.

Ahli Parlimen Dewan Rendah daripada Parti Demokratik Liberal (LDP) yang berusia 77 tahun itu memaklumkan kepada penyokongnya bahawa beliau tidak akan bertanding semula dalam pilihan raya akan datang.

"Sempena menyambut 'kiju' (usia 77 tahun), saya mula berfikir secara serius untuk memberi laluan kepada generasi seterusnya," kata Suga kepada pemberita di Yokohama, kawasan parlimen beliau yang terletak berhampiran Tokyo.

Perdana Menteri ketika ini, Sanae Takaichi, dijangka akan membubarkan Dewan Perwakilan pada akhir bulan ini bagi membolehkan pilihan raya awal diadakan, kemungkinan pada 8 Feb.

Suga, yang merupakan anak kepada seorang petani strawberi, berjaya menonjolkan diri dalam arena politik Jepun walaupun tanpa latar belakang politik yang kuat selepas pertama kali dipilih sebagai ahli dewan rendah pada 1996.

Selepas berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kabinet, Suga menggantikan Abe yang meletak jawatan atas faktor kesihatan di tengah-tengah pandemik COVID-19 pada 2020.

Suga dianggap sebagai Perdana Menteri yang mampu menunaikan dasar dijanjikan di bawah kepimpinannya, walaupun pendekatannya kadangkala dikritik kerana dianggap terlalu tegas.

-- BERNAMA-KYODO

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513732