POLITIK

Perhimpunan Agung UMNO 2025 Perjelas Hala Tuju Parti, Redakan Ketegangan Dalaman

18/01/2026 10:21 AM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang melabuhkan tirainya semalam dilihat berjaya meredakan ketegangan dalaman serta memberikan kejelasan hala tuju parti kepada ahli di peringkat akar umbi.

Penganalisis politik Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata penegasan Presiden UMNO Datuk Seri  Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai pendirian parti untuk terus mendukung Kerajaan Perpaduan berjaya menutup ruang spekulasi dan mengelak perpecahan dalaman lebih besar.

“Perhimpunan ini bersifat menstabil dan menyatukan... ia berjaya menetapkan garis asas hala tuju parti dalam persekitaran politik sekarang,” katanya kepada Bernama.

Dalam ucapan dasar Presiden pada Jumaat lepas, Ahmad Zahid menegaskan bahawa UMNO kekal mendukung Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan negara.

Ini walaupun, menurut beliau, parti itu menerima tawaran kerjasama politik daripada pihak lain dan sebelum ini terdapat gesaan daripada sayap Pemuda supaya UMNO keluar daripada kerajaan.

Sivamurugan berkata fokus kini beralih kepada kerja lapangan bagi memastikan UMNO bersatu  menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Penganalisis dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Md Shukri Shuib berkata pemahaman ahli terhadap  hala tuju perjuangan parti penting supaya gerak kerja di peringkat akar umbi dapat menterjemah aspirasi  kepimpinan parti itu, sekali gus mampu berdepan serangan pihak lawan.

Beliau berpandangan perhimpunan agung kali ini merupakan manifestasi penyatuan kaum Melayu melalui gagasan Rumah Bangsa, membolehkan UMNO kembali menjadi magnet kepada orang Melayu pada masa depan.

"Di peringkat nasional mahupun negeri, persiapan parti lebih terserlah dalam usaha membawa aspirasi UMNO ke dalam pilihan raya nanti, sekali gus menunjukkan penyatuan orang Melayu yang lebih dinamik," katanya.

Ahmad Zahid dalam ucapan dasar Presiden menegaskan UMNO berperanan sebagai Rumah Bangsa, iaitu tempat untuk menyatukan kembali orang Melayu.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513744