AM

KKM Lancar Projek MADANI RM1 Juta Di Kampung Santan Selatan

18/01/2026 09:17 PM

KANGAR, 18 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di Kampung Santan Selatan di sini memberi tumpuan kepada pembangunan 10 projek fizikal dan dua projek bukan fizikal dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 juta.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk penaiktarafan infrastruktur dan perolehan aset Klinik Desa Kampung Santan, penambahbaikan pengurusan sisa pepejal melalui naik taraf tapak dan pengagihan tong sampah individu, pembinaan papan tanda serta tembok jalan, dan kerja menaik taraf Masjid Nurus Said Kampung Santan.

"Selain itu, pembangunan kampung turut merangkumi pemasangan kemudahan WiFi dan penaiktarafan Dewan Orang Ramai Seri Santan bagi menyokong aktiviti kemasyarakatan, penurapan semula jalan sekitar kampung serta pembinaan longkang dan sistem saliran ke kawasan sawah dan jalan masuk ke ladang.

"Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keselamatan, keselesaan, dan kualiti hidup penduduk secara berterusan," menurut kenyataan itu sempena majlis penutup Karnival MADANI bertemakan 'Menyemai Kasih, Menyantuni Komuniti' anjuran KKM di Sekolah Kebangsaan Santan di sini hari ini.

Majlis penutup itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Suriani Ahmad.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Suriani berkata Kementerian Kewangan meluluskan pemilihan Kampung Santan Selatan sebagai Kampung Angkat MADANI dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1 juta. 

Beliau berkata peruntukan itu digunakan sepenuhnya bagi menyelesaikan isu setempat yang dikenal pasti dan ditangani Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) kampung itu dengan kerjasama KKM, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

"Dalam masa sama, saya berbesar hati memaklumkan bahawa Sekolah Kebangsaan Santan turut terpilih bagi Program Sekolah Angkat MADANI. Peruntukan sebanyak RM100,000 telah disalurkan bagi pelaksanaan program di Sekolah Kebangsaan Santan. 

"Dana ini telah digunakan untuk menaik taraf kemudahan sekolah dan menyokong inisiatif yang dapat meningkatkan pencapaian akademik serta potensi diri murid," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513900