PUTRAJAYA, 19 Jan (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas tiga kotak bunga ros segar seberat 46 kilogram yang diimport tanpa Permit Import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), dalam satu pemeriksaan di Zon Perdagangan Bebas (FCZ) KLIA Kargo, semalam.
AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil semakan mendapati barangan tersebut merupakan bunga ros segar yang diimport dari India tanpa kebenaran dan permit sah daripada MAQIS.
Menurut kenyataan itu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport komoditi pertanian tanpa Permit Import MAQIS yang sah.
“Kesemua barangan rampasan telah ditahan untuk tindakan lanjut mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
AKPS menegaskan komitmen berterusan dalam memperketat kawalan kemasukan barangan pertanian demi melindungi keselamatan biosekuriti negara.
-- BERNAMA