KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Jurutera Malaysia (IEM) menyatakan kesediaannya menawarkan kepakaran teknikal bagi membantu pihak berkuasa menyiasat insiden letupan di kampus HELP University di Bukit Damansara pada 12 Jan.
Presiden IEM Prof Dr Jeffrey Chiang Choong Luin berkata institusi itu bersedia menyokong Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Suruhanjaya Tenaga serta agensi berkaitan lain bagi memastikan analisis punca insiden dijalankan secara menyeluruh.
“Kami percaya analisis punca yang komprehensif penting bukan sahaja untuk memastikan akauntabiliti, tetapi juga untuk mengambil pengajaran yang boleh memperkukuh tadbir urus kejuruteraan dan piawaian keselamatan dalam reka bentuk, pemasangan serta amalan penyelenggaraan peralatan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Jeffrey berkata IEM amat sedih dengan insiden tragik itu dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia, sambil mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih.
Beliau menegaskan, pada tahap ini, IEM masih tidak mempunyai akses kepada butiran teknikal peralatan yang terlibat atau rekod penyelenggaraannya.
Berdasarkan imej insiden yang boleh diperoleh secara awam, beliau memaklumkan terdapat kerosakan struktur termasuk runtuhan dinding bata dan siling, sambil menekankan kepentingan memastikan bilik mesin ditempatkan jauh daripada kawasan didiami apabila wujud risiko letupan.
Beliau berkata piawaian ini turut menetapkan syarat operasi, penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan refrigeran bagi sistem yang menggunakan refrigeran mudah terbakar, dengan kakitangan yang menjalankan kerja tersebut perlu mempunyai latihan dan sijil yang sah untuk memastikan kompetensi dari segi teknikal dan pengurusan keselamatan.
Jeffrey turut menegaskan bahawa insiden ini harus dijadikan peringatan serius kepada pengamal kejuruteraan, pemilik bangunan dan pihak industri untuk menilai semula dan memperkukuh sistem pengurusan keselamatan masing-masing.
Dalam insiden kira-kira 11.40 pagi itu, seorang lelaki maut manakala sembilan yang lain cedera. Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, 24, seorang pelajar tahun tiga Jurusan Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
-- BERNAMA