DUNIA

Nahas Tren Di Sepanyol: Angka Korban Meningkat Kepada 39

19/01/2026 05:33 PM

ISTANBUL, 19 Jan (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 39 maut manakala 152 yang lain cedera selepas dua tren berkelajuan tinggi berlanggar berhampiran bandar Adamuz di wilayah Cordoba, selatan Sepanyol pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kejadian berlaku kira-kira 7.40 malam waktu tempatan (1840 GMT) apabila sebuah tren dari Malaga ke Madrid tergelincir berhampiran Adamuz dan memasuki laluan bersebelahan.

Insiden itu menyebabkan sebuah lagi tren yang menuju ke selatan dari Madrid ke Huelva turut tergelincir.

Menurut pihak berkuasa wilayah, dua gerabak tren Alvia terjunam ke bawah benteng setinggi empat meter, menyukarkan usaha menyelamat, lapor El País.

Kementerian Dalam Negeri Sepanyol memaklumkan lima mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal, manakala 24 lagi termasuk empat kanak-kanak mengalami kecederaan serius. Lebih 120 orang pula mengalami kecederaan ringan hingga sederhana.

Perkhidmatan kecemasan mengerahkan sumber secara besar-besaran ke lokasi kejadian, termasuk unit rawatan rapi bergerak, ambulans, kenderaan logistik dan pos perubatan canggih yang didirikan di kemudahan kereta api Adif bagi menjalankan proses triage dan menstabilkan mangsa sebelum dibawa ke hospital.

Unit Kecemasan Tentera (UME) turut menghantar kira-kira 40 anggota dan 15 kenderaan bagi membantu operasi menyelamat.

Presiden wilayah Andalusia, Juan Manuel Moreno melawat lokasi kejadian dan menyifatkannya sebagai “hari yang sangat sukar bagi Andalusia.”

Beliau berkata pihak berkuasa akan memberikan angka korban yang lebih tepat selepas prosedur pengecaman selesai dilakukan.

Menteri Pengangkutan Oscar Puente menyifatkan insiden itu “pelik,” memandangkan ia berlaku pada bahagian lurus landasan yang telah dinaik taraf pada Mei lalu.

Beliau berkata sebuah suruhanjaya bebas akan menyiasat sama ada punca kejadian berkaitan dengan infrastruktur atau kenderaan tren.

Perdana Menteri Pedro Sanchez membatalkan agenda rasminya pada Isnin, termasuk pertemuan yang dijadualkan dengan ketua pembangkang Alberto Nunez Feijoo selain menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Presiden Perancis Emmanuel Macron turut menzahirkan solidariti dengan Sepanyol melalui media sosial dengan menyatakan bahawa “Perancis berdiri bersama anda.”

Perkhidmatan tren antara Madrid dan beberapa bandar di Andalusia termasuk Seville, Malaga, Cordoba dan Huelva turut digantung pada Isnin. Pengendali tren Renfe memaklumkan lebih 130 perkhidmatan dibatalkan dan menawarkan pertukaran tiket percuma serta bayaran balik kepada penumpang terjejas.

Adif, pengurus infrastruktur rel Sepanyol, membuka talian bantuan untuk waris mangsa.

Bencana kereta api terburuk di Sepanyol berlaku pada 2013, apabila tren berkelajuan tinggi dalam perjalanan dari Madrid ke Galicia tergelincir, membunuh 79 orang dan mencederakan 179 yang lain.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2514192