SUKAN

M7: Tiada Ruang Untuk Selesa, SRG Bersedia Hadapi Cabaran Aurora

20/01/2026 08:51 PM

JAKARTA, 20 Jan (Bernama) -- Selangor Red Giants (SRG) hanya selangkah lagi untuk mengesahkan tempat ke pentas final upper bracket Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M7. 

Bagaimanapun, tugas tersebut bukan mudah kerana pasukan Malaysia itu perlu bersedia sepenuhnya untuk berdepan pertarungan sengit dengan Aurora Gaming (Aurora) dari Turkiye esok.

Ketua Jurulatih SRG Michael Angelo Bocado percaya pasukannya tidak boleh memandang ringan cabaran Aurora yang disifatkannya sebagai pasukan “kedua hitam” berbahaya dalam kejohanan itu. 

“Bagi saya, Aurora pasukan yang sentiasa berupaya untuk menang dan dianggap sebagai satu daripada kuda hitam dalam setiap kejohanan yang mereka sertai. Jadi, sudah tentu kita perlu menghormati cabaran mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. 

Beliau berkata perlawanan esok yang menggunakan format best-of-five akan ditentukan bukan sahaja oleh kemahiran tetapi juga keupayaan untuk menyesuaikan diri sepanjang siri perlawanan bagi kedua-dua pasukan.

“Kebolehan untuk menyesuaikan diri dan membaca corak permainan lawan sangat penting untuk menang dalam siri best-of-five ini. Sejauh mana pasukan dapat menyesuaikan diri dengan strategi lawan itu yang akan memberi kemenangan,” katanya.

Sebelum ini, SRG mara ke separuh akhir upper bracket selepas mengalahkan Team Spirit 2-0 Ahad lepas, manakala Aurora melangkah ke pusingan seterusnya dengan menewaskan Yangon Galacticos 2-0 dalam pusingan kalah mati pertama. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2514772