SUKAN

M7 Bakal Atasi Rekod Tajaan M6, Jadi Kejuaraan MLBB Paling Bernilai

20/01/2026 08:57 PM

Daripada Muhammad Zulkarnain Mohd Azman

JAKARTA, 20 Jan (Bernama) -- Moonton Games menjangkakan Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M7 yang sedang berlangsung bakal menjana nilai tajaan lebih tinggi berbanding penanda aras €115 juta (RM552.6 juta) yang dicatatkan pada M6.

Ketua Pembangunan Perniagaan E-sukan Malaysia di Moonton Games, Krystal Tan berkata keyakinan itu didorong oleh rekod tontonan dunia yang semakin meningkat dan penglibatan lebih mendalam daripada jenama besar yang menaja acara itu.

Beliau berkata prestasi awal M7 sangat memberangsangkan dan setakat ini, jumlah tontonan serentak (PCV) paling tinggi mencecah 3.6 juta.

“Banyak perlawanan awal pun sudah ditonton oleh lebih dua juta orang pada satu-satu masa. Ini bermakna penonton bukan hanya tunggu perlawanan akhir sahaja, tetapi sudah mula mengikuti kejohanan sejak awal lagi.

“Syarikat penaja mendapat perhatian yang sangat tinggi daripada peminat sepanjang kejohanan ini berlangsung,” katanya kepada Bernama hari ini.

Tan berkata kejayaan liga tempatan seperti Liga Profesional MLBB (MPL) Malaysia telah membantu membina sistem yang lebih baik untuk menarik penaja besar dunia, dan jenama terkenal seperti NBA, Visa, dan Red Bull kini telah menjadi rakan kongsi rasmi M7.

Dari segi jumlah peminat, Indonesia dan Filipina kekal sebagai penyokong terbesar, namun Malaysia juga menunjukkan perkembangan hebat menyaksikan pasukan tempatan, iaitu Selangor Red Giants belum kalah dalam kejohanan berkenaan.

Selain itu, negara di Eropah Timur, Asia Tengah, dan Timur Tengah juga semakin berminat dan ramai mula menonton perlawanan Mobile Legends.

Beliau berkata kaedah penajaan syarikat juga sudah berubah, tidak lagi sekadar meletakkan logo pada skrin, tetapi turut bekerjasama menghasilkan aktiviti menarik untuk peminat, seperti zon VIP dan karnival khas untuk penonton yang hadir. 

“Syarikat daripada sektor bank, teknologi, dan gaya hidup kini amat berminat dengan e-sukan kerana penontonnya terdiri golongan muda yang sentiasa menggunakan telefon pintar.

“Melabur dalam iklan e-sukan MLBB, kini memberikan hasil yang sama hebatnya dengan menaja sukan tradisional (seperti bola sepak atau badminton), kerana ia membolehkan jenama mendekati golongan muda dengan lebih berkesan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2514774