KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Kanak-kanak yang mengikuti kemasukan awal ke Tahun Satu pada usia enam tahun (5+) bagi sesi 2027 dijadual menamatkan pendidikan peringkat menengah atas lebih awal iaitu pada usia 16 tahun.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam dokumen Soalan Lazim (FAQ) menjelaskan kumpulan murid itu tidak akan berada dalam Tahun Satu selama dua tahun, sebaliknya mengikuti struktur sedia ada: enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah.
"Murid akan mengikuti peringkat menengah selama lima tahun dan tamat peringkat menengah atas pada umur 16 tahun (15+)," menurut dokumen yang disediakan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM.
KPM menegaskan bahawa kemasukan awal itu adalah pilihan sukarela ibu bapa dan tidak diwajibkan selain bergantung sepenuhnya kepada kesediaan kanak-kanak yang telah mengikuti prasekolah pada usia lima tahun serta lulus saringan diagnostik yang ditetapkan.
Bagi memastikan kualiti pembelajaran tidak terjejas, KPM telah menyediakan Kurikulum Persekolahan 2027 yang disesuaikan dengan tahap kognitif murid, termasuk mereka yang mungkin belum mengikuti prasekolah agar dapat menguasai kemahiran asas dengan berkesan.
Dari aspek prasarana, kementerian merancang pembinaan bilik darjah tambahan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi menampung keperluan murid di seluruh negara.
KPM juga komited memastikan bekalan guru mencukupi melalui pelbagai saluran latihan termasuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Program Diploma Pasca Siswazah Pendidikan (PDPP) serta pelantikan secara Kontrak Perkhidmatan (COS).
Polisi kemasukan awal itu merupakan sebahagian daripada fleksibiliti sistem pendidikan negara bagi memberi peluang kepada kanak-kanak yang mencapai tahap kesediaan akademik lebih awal untuk memulakan persekolahan formal sebelum usia lazim tujuh tahun.
-- BERNAMA