JENAYAH & MAHKAMAH

JKDM Laksana Pusingan Kerja Semua Anggota Bagi Perkukuh Integriti, Budaya Kerja Di KLIA

21/01/2026 12:27 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melaksanakan pusingan kerja secara menyeluruh melibatkan semua anggotanya sebagai langkah utama memperkukuh integriti dan memastikan budaya kerja telus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Kastam KLIA Zulkifli Muhammad, berkata langkah itu sebahagian daripada usaha jabatan memelihara akauntabiliti dan disiplin pegawai, termasuk menangani cabaran rasuah dan sindiket antarabangsa.

Katanya JKDM juga memperkasakan polisi perlindungan pemberi maklumat (whistleblower) bagi memastikan identiti individu yang melaporkan salah laku pegawai terpelihara.

“Langkah lain termasuk pelaksanaan ujian air kencing secara berkala bagi memastikan pegawai bebas daripada pengaruh dadah, kerana ketagihan bahan terlarang dikenal pasti sebagai punca yang boleh meruntuhkan integriti seseorang pegawai.

“Penggunaan kamera badan dalam kalangan pegawai operasi di lapangan terbang juga menunjukkan impak positif apabila statistik aduan daripada penumpang dan masyarakat didapati semakin menurun,” katanya ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir yang disiarkan Bernama Radio, hari ini.

Mengulas mekanisme pemantauan, Zulkifli menekankan keberkesanan inisiatif lawatan mengejut yang diterajui sendiri oleh Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, yang setakat ini telah melakukan 88 lawatan ke pelbagai stesen JKDM.

“Lawatan mengejut ini bukanlah bertujuan mencari kesalahan, sebaliknya sebagai langkah pencegahan awal untuk mengesan risiko dan masalah pegawai,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sambutan Hari Kastam Sedunia 2026 pada 26 Jan di Cyber Hall Event, Cyberjaya, akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) pada tahun ini mengangkat tema ‘Kastam Melindungi Masyarakat Melalui Kewaspadaan dan Komitmen, mencerminkan peranan jabatan yang semakin luas dan mencabar dalam mendepani landskap perdagangan global yang bergerak pantas serta kompleks.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2514931