DUNIA

BTS Dapat Kelulusan Buat Penggambaran Di Tapak Bersejarah Seoul

21/01/2026 04:48 PM

SEOUL, 21 Jan (Bernama-Yonhap) -- Pihak berkuasa warisan budaya telah memberikan kelulusan bersyarat kepada bintang K-pop BTS untuk melakukan penggambaran di beberapa tapak bersejarah utama di tengah Seoul, ketika kumpulan terkenal itu merancang konsert berskala besar di kawasan Gwanghwamun bagi mempromosikan kemunculan semula mereka yang dinanti-nantikan pada Mac ini, lapor Agensi Berita Yonhap.

Perkhidmatan Warisan Korea (KHS) menyatakan bahawa Jawatankuasa Warisan Budayanya telah meneliti dan meluluskan secara bersyarat permohonan oleh Hybe, syarikat yang menguruskan BTS untuk menggunakan Istana Gyeongbok dan pintu perbang Sungnyemun bagi projek berkenaan.

Kelulusan itu menghendaki sebuah jawatankuasa kecil untuk menilai impak projek berkenaan terhadap aset budaya, menurut KHS.

Keputusan itu membolehkan BTS membuat penggambaran video prarakam di istana diraja dan kawasan sekitar Gwanghwamun untuk digunakan dalam persembahan kemunculan semula mereka.

Penggambaran dijangka berlangsung pada Selasa, iaitu hari istana itu ditutup kepada orang ramai.

Bagaimanapun, konsert dalam skala besar itu masih belum disahkan, dengan perbincangan bersama kerajaan metropolitan Seoul dan agensi berkaitan sedang berjalan, dan keputusan dijangka diumumkan akhir bulan ini, menurut pegawai.

Menurut pegawai bandar raya, Hybe telah memohon untuk menganjurkan konsert bagi kira-kira 18,000 orang di Dataran Gwanghwamun pada 21 Mac, sehari selepas kemunculan semula kumpulan itu, serta satu lagi acara untuk kira-kira 30,000 orang di Seoul Plaza yang terletak di hadapan Dewan Bandaraya.

Jika diluluskan, ia akan menjadi konsert solo pertama oleh satu kumpulan K-pop di Dataran Gwanghwamun.

Dalam permohonan kepada KHS, syarikat itu menyatakan bahawa persembahan berkenaan akan distrim ke seluruh dunia melalui platform dalam talian utama kepada kira-kira 300 juta pelanggan di 190 negara.

BTS akan melancarkan album kelima mereka “Arirang” pada 20 Mac ini, album baharu pertama dalam tempoh tiga tahun sembilan bulan sejak album “Proof” pada Jun 2022.

-- BERNAMA-YONHAP

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2515084